Selasa, 29 Julai 2008

Bersedia untuk persaraan

Semakin anda meniti usia, isu-isu kewangan anda lazimnya akan berkaitan dengan wang persaraan anda.
Anda perlu menilai secara terperinci sama ada anda mampu untuk bersara apabila tiba waktunya.
Ketahui bagaimana perancangan kewangan yang teliti dapat memastikan anda hidup selesa selepas bersara.
Ketahui cara bijak untuk melabur wang anda dan nikmati pulangan pelaburan anda pada tahun-tahun persaraan anda.
Dengan perlindungan yang sesuai untuk pelaburan dan anuiti persaraan anda, anda boleh menikmati kehidupan anda selepas bersara bersama-sama yang tersayang.

Memulakan keluarga

Keluarga merupakan aspek paling utama di dalam hidup kebanyakan ibu bapa. Anda mahu memastikan keperluan semua ahli keluarga anda dipenuhi dan masa depan mereka terjamin walaupun anda sudah tiada.
Kemahiran asas yang terpenting ialah memastikan kewangan keluarga anda terpelihara dan keluarga anda tahu bagaimana untuk menguruskan wang. Gunakan kalkulator belanjawan kami untuk membantu anda.
Anda juga boleh mengajar tabiat pengurusan wang secara bijak kepada anak-anak anda melalui Duitsaku.com. Apabila aspek kewangan anda sudah cukup stabil, anda boleh mempelajari bagaimana untuk melabur wang anda untuk mewujudkan simpanan yang lebih untuk masa depan.Pertimbangan lain yang sama pentingnya ialah mempunyai perlindungan peribadi untuk anda dan yang tersayang. Sama ada perlindungan insurans atau takaful, keluarga anda seharusnya dapat meneruskan kehidupan mereka walaupun anda sudah tiada.
Berikan masa depan yang cerah kepada anak-anak anda dengan mendapatkan pelan pendidikan anak dan jamin keselesaan kehidupan anda selepas bersara dengan skim anuiti.Sekiranya anda mencari pembiayaan untuk membeli kenderaan atau rumah idaman, ketahui pinjaman-pinjaman yang ditawarkan institusi perbankan.
Pastikan anda membandingkan ciri-ciri dan kadar pinjaman-pinjaman ini dan kira ansuran pinjaman ini sebelum memilih pinjaman yang sesuai dengan keperluan anda.
Jika anda mempertimbangkan tentang opsyen pelaburan, gunakan panduan kami tentang pelaburan sebagai rujukan untuk mengetahui pendekatan pelaburan yang berbeza mengikut kitaran hidup yang berlainan.

Memulakan Kerjaya

Melangkah ke alam pekerjaan merupakan titik permulaan bagi anda untuk mula mendalami pengurusan kewangan dan mengetahui akaun perbankan mana yang perlu dipilih untuk memenuhi keperluan anda.
Bandingkan kadar dan manfaat yang ditawarkan produk-produk yang berbeza. Untuk membuat bajet, gunakan kalkulator bajet kami untuk membantu anda merancang kewangan anda dengan lebih baik.
Anda juga mungkin mahu mengetahui cara-cara bayaran alternatif untuk pembelian anda. Jika pendapatan tahunan anda melebihi RM18,000, anda boleh memohon kad bayaran. Bandingkan kad-kad yang ditawarkan, dan yang lebih penting, ketahui bagaimana untuk mengurus penggunaan kad-kad ini kerana penggunaan yang tidak terkawal boleh membawa bebanan kewangan kepada anda.
Jika anda ingin membeli rumah atau kereta sendiri, terdapat pelbagai pinjaman perumahan dan sewa beli kenderaan yang boleh membiaya pembelian ini, ditawarkan oleh pelbagai institusi perbankan. Bandingkan produk-produk yang ditawarkan, dan buat perbezaan harga dan ciri-ciri pinjaman.
Lawati laman jadual perbandingan kami untuk membantu anda membuat perbandingan ini. Anda juga harus ingat, dengan pembelian rumah atau kenderaan, anda juga perlu mendapatkan perlindungan insurans untuk rumah, kenderaan atau pinjaman anda.Pertimbangkan bagaimana anda membelanjakan wang lebihan dengan berhemat. Bacalah tip tentang pelaburan dan cara-cara untuk mengelakkan pelaburan yang merugikan daripada panduan kami.
Anda juga boleh mengetahui tentang insurans perubatan dan kesihatan serta insurans berkaitan pelaburan agar anda dilindungi sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku. Lindungi harta benda anda dengan polisi insurans atau pelan takaful yang sesuai dan anda pasti tenang melalui kehidupan seharian dengan yang tersayang.


Perihal Kewangan Untuk Remaja

Inilah masanya anda mula berdikari, berjauhan daripada kampung halaman dan keluarga untuk meneruskan pelajaran di universiti.
Di antara perkara yang perlu anda uruskan adalah kewangan anda. Pelajari bagaimana untuk menguruskan wang dengan bijak dan mengira bajet anda.
Anda perlu mempertimbangkan untuk menyimpan sebahagian daripada wang anda di dalam akaun bank.
Akaun ini membolehkan anda menyimpan dan mengeluarkan wang dengan mudah serta memberi anda akses kepada perkhidmatan perbankan Internet.
Anda juga perlu mempelajari asas-asas insurans bagi memastikan kestabilan dan jaminan kewangan yang berterusan.

PERINGKAT HIDUP

Kita melalui peringkat kehidupan yang berbeza-beza, menghadapi situasi yang berlainan dan mengalami pengalaman baru setiap hari. Bersedialah untuk menghadapi masa depan anda. Pastikan kehidupan anda dan keluarga terjamin, terutamanya dari aspek kewangan. Ketahui bagaimana pengurusan kewangan yang bijak dapat membantu anda melalui peringkat-peringkat kehidupan yang berbeza ini.

  • Perihal Kewangan Untuk Remaja
  • Memulakan Kerjaya
  • Memulakan keluarga
  • Bersedia untuk persaraan

Istilah Yang Anda Perlu Tahu....

Anuiti
Suatu kontrak yang memperuntukkan pendapatan berkala bagi sesuatu tempoh, bergantung kepada jangka hayat seseorang.

Bayaran bersama
Suatu peruntukan dalam polisi perubatan dan kesihatan yang memerlukan pemegang polisi menanggung perbezaan kos bilik tersebut serta sebahagian (biasanya 10%-20%) daripada manfaat lain yang dinyatakan di dalam kontrak polisi sekiranya kadar yang dikenakan oleh pihak hospital lebih tinggi daripada kelayakannya.

Bonus
Faedah tambahan yang diperuntukkan kepada pemegang polisi sertaan akibat pulangan yang baik bagi dana insurans hayat.

Broker insurans
Seseorang yang mewakili pelanggan dalam urusan, rundingan atau pengambilan sesuatu kontrak insurans. Ia juga mungkin memberi pekhidmatan tambahan yang berkaitan semasa menjalankan tugasnya.

Caruman
Ansuran caruman takaful yang dibayar sekali atau secara berkala kepada pengendali takaful bagi penyertaanya dalam satu skim takaful.

Deduktibel
Sebahagian kerugian yang perlu ditanggung oleh pemegang polisi sebelum layak membuat tuntutan dari syarikat insurans. Juga dikenali sebagai ekses.

Diskaun tanpa tuntutan
Skim ganjaran kepada pemegang polisi sekiranya tiada tuntutan dibuat terhadap polisi dalam tempoh 12 bulan sebelum itu. Kadar yang berlainan dikenakan bagi kelas kenderaan yang berlainan. Bagi kenderaan persendirian, skala diskaun tanpa tuntutan adalah di antara 25% sehingga 55% seperti yang dinyatakan di dalam polisi insurans kenderaan.

Dividen
Wang yang diberi kepada pemegang polisi berdasarkan penghasilan dan lebihan kewangan syarikat insurans.

Ejen
Seseorang yang mengurus niaga, merunding atau memasuki kontrak insurans bagi pihak syarikat insurans.

Ekses
Sila rujuk makna deduktibel.

Fasal boleh tanding
Fasal dalam polisi insurans hayat yang memberi peruntukan setelah polisi tersebut telah berkuat kuasa untuk sesuatu tempoh masa (biasanya satu atau two tahun), syarikat insurans tidak boleh mempertikai lagi kenyataan yang terdapat dalam borang permohonan insurans kecuali jika ia membuktikan penipuan telah berlaku.

Harta hak milik strata
Hartanah seperti pangsapuri, kondominium atau rumah pangsa.

Hilang upaya
Suatu keadaan yang menjejas sedikit sebanyak keupayaan seseorang untuk menjalankan urusan harian. Hilang upaya boleh merupakan separa atau keseluruhan dan sementara atau tetap.

Indemniti
Meletakkan si penuntut kepada kedudukan kewangan yang sama sejurus sebelum kerugian berlaku melalui bayaran, pembaikan atau penggantian.

Insurans berganda
Mempunyai perlindungan daripada dua atau lebih polisi perlindungan bertindih bagi beberapa risiko yang sama.

Insurans berkaitan pelaburan
Insurans hayat yang nilai polisi berubah-ubah mengikut nilai aset dasar pada waktu berkenaan.

Insurans bertempoh
Insurans yang membayar sejumlah wang hanya sewaktu kematian berlaku dalam tempoh yang ditetapkan.

Insurans bertempoh gadai janji berkurangan
Polisi insurans yang melindungi bayaran balik pinjaman tertunggak dengan institusi perbankan apabila peminjam meninggal dunia lebih awal, hilang upaya atau sakit kritikal.

Insurans endowmen
Insurans yang membayar sejumlah wang apabila berlaku kematian atau sewaktu mencapai tarikh cukup tempoh sebagaimana dinyatakan dalam polisi.

Insurans hayat
Sesuatu perjanjian yang menjamin pembayaran sesuatu manfaat kewangan orang yang diinsuranskan kerana kematian atau di bawah keadaan yang ditetapkan dalam kontrak.

Insurans hayat kumpulan
Insurans yang melindungi sekumpulan orang di bawah satu polisi induk. Polisi ini umumnya dikeluarkan tanpa memerlukan pemeriksaan perubatan ke atas tempoh hayat orang yang diinsuranskan. Ia biasanya ditawarkan kepada majikan bagi manfaat para pekerjanya atau kepada ahli sesebuah persatuan.

Insurans hayat seumur hidup
Insurans yang membayar sejumlah wang pada bila-bila masa apabila berlaku kematian menurut syarat polisi insurans tersebut.

Insurans perubatan dan kesihatan
Insurans yang memperuntukkan pembayaran faedah khusus untuk membiayai perbelanjaan perubatan yang dikenakan atau risiko seseorang menjadi hilang upaya sama ada separa atau sepenuhnya atau dimasukkan ke hospital berikutan penyakit yang dihadapi atau keuzuran.

Kadar pro-rata
Kadar yang dikenakan kurang daripada tempoh tertentu. Contohnya, sekiranya seseorang yang diinsuranskan perlu perlindungan bagi suku tahun, maka premium yang dikenakan ke atas beliau adalah suku daripada premium tahunan.

Kadar tarif
Suatu kadar yang telah ditetapkan oleh organisasi penarafan yang dihasilkan melalui jadual dan peraturan tarif. Bagi produk yang berkadar tarif, semua pemegang polisi akan membayar premium standard, sekiranya tiada premium tambahan dikenakan.

Kepentingan boleh diinsurans
Merupakan salah satu asas prinsip insurans yang memerlukan pembeli insurans berkepentingan terhadap barang atau hayat yang diinsuranskan, di mana sesuatu kerosakan atau kehilangan kepada harta benda atau hayat yang diinsuranskan, akan mengakibatkan kerugian kewangan kepada pembeli tersebut.

Kerugian menyeluruh
Kerugian yang cukup besar sehingga boleh dianggap langsung tidak mempunyai nilai.

Kewajipan membuat pendedahan
Contohnya “kewajipan pendedahan untuk semua fakta penting”, ini merujuk kepada kewajipan mendedahkan maklumat dalam borang permohonan insurans yang dikemukakan kepada syarikat insurans. Kegagalan tindakan sedemikian akan menyebabkan polisi insurans anda tidak sah.

Klausa purata
Klausa ini memperihalkan syarikat insurans hanya bertanggungjawab untuk kadar sebahagian kerugian yang bergantung pada jumlah nilai diinsuranskan kepada jumlah risiko.

Komisen
Merupakan ganjaran yang dibayar kepada ejen oleh syarikat insurans bagi perkhidmatan yang diberikan.

Liabiliti kecederaan tubuh badan
Liabiliti bersabit dengan kecederaan fizikal atau kematian seseorang.

Luput
Penamatan sesuatu polisi insurans hayat di akhir tempoh perlindungan insurans tersebut.

Manfaat akibat kematian
Amaun yang akan dibayar dan dinyatakan dalam kontrak polisi akibat kematian seseorang yang diinsuranskan.

Manfaat hilang upaya
Manfaat yang dibayar kepada orang yang diinsuranskan akibat hilang upaya di bawah peruntukan polisi pendapatan atau peruntukan yang termaktub dalam polisi insurans lain seperti insurans hayat.

Manfaat untuk pembayar
Sesuatu rider atau peruntukan yang kebiasaannya termaktub dalam polisi insurans juvenil di mana, premium adalah dikecualikan apabila salah seorang yang membayar premium, iaitu ibu atau bapa menjadi hilang upaya atau mati semasa anak itu masih kecil.

Nilai matang
Jumlah yang dibayar pada akhir tempoh endowmen kepada orang yang diinsuranskan yang masih hidup atau kepada empunya polisi insurans hayat seumur hidup yang telah hidup melebihi umur tertentu.

Nilai serahan
Amaun tunai yang dibayar apabila seseorang menamatkan polisi secara sukarela sebelum polisi insurans tersebut menjadi boleh dibayar sewaktu kematian atau pada waktu matang. Juga dikenali sebagai nilai tunai.

Orang yang diinsuranskan
Seseorang yang dilindungi di bawah suatu polisi insurans hayat atau kesihatan.

Pampasan
Sejumlah wang yang diberi sebagai pembayaran atau pembaikan sepertimana ditentukan mengikut tuntutan yang dibuat pemegang polisi insurans yang berkaitan.

Pelaras kerugian
Seseorang yang menjalankan urusniaga berkaitan dengan siasatan tentang sebab-sebab dan keadaan sesuatu kerugian di samping menentukan jumlah kerugian.

Pembelitan polisi (twisting)
Tindakan atau percubaan untuk memujuk seorang pemegang polisi supaya menukar perlindungan sedia ada dengan mengambil polisi dengan perlindungan yang baru. Pemegang polisi ini kebiasaannya akan berada dalam keadaan yang lebih buruk selepas penukaran polisi dilakukan.

Penama
Orang yang dinamakan dalam polisi insurans hayat atau insurans kemalangan untuk menerima manfaat di bawah polisi berkenaan.

Penamaan
Tindakan menamakan seseorang sebagai penama sesuatu polisi insurans hayat atau kemalangan.

Penamatan
Penamatan suatu polisi insurans hayat pada tarikh akhir tempohnya.

Penambahbaikan
Suatu keadaan di mana barang yang diinsuranskan menjadi lebih baik selepas pembaikan atau penggantian (akibat kemalangan).

Pengecualian
Suatu peruntukan tidak memasukkan perlindungan bagi sesetengah kejadian, orang, harta benda atau lokasi.

Pengembalian semula polisi
Menghidupkan semula sesuatu polisi insurans yang telah luput dalam tempoh masa tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Pengendali takaful
Sebuah syarikat yang dilesenkan di bawah Akta Takaful 1984 untuk menjalankan perniagaan takaful.

Pengunduran tarikh
Prosidur menjadikan tarikh kuat kuasa sesuatu polisi itu lebih awal daripada tarikh permohonan. Pengunduran tarikh sering digunakan untuk menjadikan umur semasa polisi insurans dikeluarkan lebih muda untuk pembayaran premium yang lebih rendah.

Penuh percaya mutlak
Salah satu prinsip asas insurans yang memerlukan pemegang polisi mendedahkan semua fakta penting kepada syarikat insurans apabila membuat permohonan untuk membeli sesuatu polisi. Ini disebabkan syarikat insurans mengambil risiko berasaskan kepada maklumat yang diberi oleh pemegang polisi dalam borang cadangan.

Penyerahan hak
Pemindahan hak milik kepunyaan dalam sesuatu polisi insurans hayat kepada satu pihak yang lain.

Perlindungan
Skop perlindungan yang diberi di bawah suatu polisi insurans.

Pinjaman polisi
Sesuatu pinjaman yang diberi oleh syarikat insurans kepada empunya polisi di mana keseluruhan atau sebahagian dari nilai tunai polisi diserahhak menjadi jaminan kepada pinjaman tersebut.

Pinjaman premium automatik
Sesuatu pinjaman yang diberi oleh syarikat insurans kepada pemegang polisi dengan menggunakan nilai tunai insurans hayat untuk membayar premium tertunggak pada akhir tempoh tangguh di bawah polisi yang sama. Pinjaman ini adalah automatik sebagaimana yang dibenarkan di bawah salah satu peruntukan polisi insurans hayat.

Polisi
Dokumen mengandungi maklumat berkaitan dengan skop perlindungan, terma dan syarat serta pengecualian berkaitan dengan insurans.

Polisi berbayar
Polisi di mana bayaran premium tidak lagi diperlukan tetapi polisi ini masih belum ditamatkan atas sebab kematian atau cukup tempoh.

Polisi berbayar terkurang
Apabila polisi anda telah mempunyai nilai tunai, anda boleh memilih untuk berhenti dari membayar premium. Namum, insurans anda masih laku (sah), cuma nilai diinsuranskan akan dikurangkan.

Polisi bukan sertaan
Sejenis polisi insurans atau annuiti di mana si empunya polisi tidak layak menerima dividen atau bonus.

Polisi sertaan
Suatu polisi di mana si empunya polisi berkongsi sebahagian daripada lebihan syarikat insurans hayat dalam bentuk bonus atau dividen.

Premium
Jumlah wang yang dibayar sekali atau berkala oleh empunya polisi kepada syarikat insurans untuk perkhidmatan perlindungan insurans yang disediakan.

Rider
Tambahan kepada sesuatu polisi insurans yang meminda syarat-syarat melalui perluasan faedah polisi insurans berkenaan.

Serahan
Perbuatan menyerahbalik polisi. Syarikat insurans akan bertindak membayar nilai serahan yang telah terkumpul di bawah polisi yang diserahbalik, jika ada.

Skala manfaat
Merujuk kepada amaun pampasan yang boleh dibayar oleh syarikat insurans/ pengendali takaful. Apabila berlaku kecederaan atau kehilangan anggota tubuh badan, penglihatan atau pendengaran, perkara-perkara ini akan menetapkan bahagian pampasan yang layak bergantung kepada nilai kerugian yang dialami.

Syarat-syarat pra-wujud
Suatu peruntukan polisi yang menetapkan bahawa keadaan atau penyakit yang seseorang alami sebelum membuat permohonan untuk polisi (biasanya polisi insurans perubatan dan kesihatan) akan dikecualikan daripada perlindungan insurans.

Syarikat insurans
Syarikat yang dilesenkan di bawah Akta Insurans 1996 bagi menjalankan perniagaan insurans hayat atau am atau kedua-duanya sekali.

Takdir
Suatu bencana alam yang terjadi bukan daripada perbuatan manusia atau tidak boleh dicegah. Contoh adalah seperti banjir, kilat dan gempa bumi.

Tarikh matang
Tarikh di mana suatu insurans hayat telah cukup tempoh matang dan jumlah muka perlu dibayar, selalunya dengan syarat bahawa hayat orang yang diinsuranskan masih hidup sehingga tamat tempoh tersebut.

Tarikh penyertaan
Istilah ini dikenali juga sebagai ’tarikh berkuat kuasa”, iaitu tarikh sesuatu polisi insurans diluluskan.

Tempoh kelayakan/menunggu
Kebanyakkan polisi perubatan dan kesihatan mengandungi tempoh kelayakan, bererti kelayakan mendapat manfaat di bawah polisi akan hanya bermula 30 hari selepas tarikh berkuatkuasanya polisi.

Tempoh matang
Tempoh di mana apabila suatu polisi atau anuiti mencapai tarikh matangnya.

Tempoh membuat keputusan (free look)
Satu tempoh masa, biasanya 15 hari di mana pemegang polisi boleh memeriksa polisi insurans hayat keluarga atau insurans kesihatan yang baru dikeluarkan dan memulangkannya kepada syarikat insurans untuk mendapatkan bayaran balik premium sepenuhnya. Ini dilaksanakan selepas ditolak perbelanjaan pentadbiran yang ditanggung bagi menjalankan pemeriksaan perubatan orang yang diinsuranskan apabila ia tidak berpuas hati dengan polisi /pelan berkenaan.

Tempoh penangguhan
Satu tempoh tertentu, biasanya 30 hari dari tarikh pembayaran premium sewaktu kontrak insurans masih hidup meskipun premium insurans belum dibayar. Apabila premium masih belum dibayar dalam tempoh penangguhan, polisi insurans berkenaan akan luput atau akan tertakluk kepada polisi berbayar terkurang atau pinjaman premium automatik.

Terkurang insurans
Suatu keadaan di mana pemegang polisi membeli perlindungan insurans kurang daripada nilai pasaran sebenar untuk melindungi nilai harta benda.

Terlebih insurans
Suatu keadaan dimana seseorang pemegang polisi membeli perlindungan insurans melebihi nilai tunai sebenar atau kos penggantian sesuatu objek yang diinsuranskan.

Tidak boleh tanding
Syarikat insurans/pengendali takaful tidak boleh mempertikai kesahihan polisi yang telah berkuat kuasa selama dua tahun. Sekiranya syarikat insurans/pengendali takaful enggan membayar tuntutan, ia mestilah membuktikan bahawa polisi berkenaan telah diperolehi melalui penipuan.

Tuntutan
Pemberitahuan kepada syarikat insurans bahawa pembayaran sejumlah wang seharusnya dibuat menurut terma polisi insurans.

Rabu, 23 Julai 2008

KESILAPAN KEWANGAN UMUM

Kesilapan 1 : Sentiasa menangguh untuk memulakan sistem perancangan.
Tidak syak lagi inilah kesilapan yang paling besar sekali.
Tanyalah diri anda sendiri sudah berapa kali perkataan seperti Tak Apa, Nanti Dulu, Lepas Kahwin, Bila Anak Dah Besar, sering dijadikan alasan untuk tidak memulakan pelan kewangan seperti tabungan untuk pendidikan anak, insuran perubatan atau membuat temu-janji dengan perancang kewangan bagi membaikpulih pinjaman anda.

Kesilapan 2 : Gagal menetapkan matlamat kewangan dan cara mencapainya.
Kita sendiri sedar yang tiada orang yang merancang untuk gagal tetapi kebanyakannya gagal untuk merancang.
Mungkin sibuk dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab anda tidak mempunyai masa untuk menulis di atas kertas jawapan kepada soalan-soalan seperti :
i- Apakah 3 matlamat kewangan anda?
ii- Bila jangka masa pencapaiannya?
iii- Berapa yang perlu diperuntukkan setiap bulan?

Kesilapan 3 : Kekurangan disiplin untuk menabung secara sistematik.
Media massa sekarang ini dipenuhi dengan iklan dan propaganda bertujuan mengalakkan kita berbelanja lebih dari yang sepatutnya.
Tetapi patutkah media massa dipersalahkan?
Apakah ada sistem atau rahsia yang boleh menyelamatkan wang kita daripada lanun-lanun seperti kad kredit, jualan murah, desakan rakan sebaya dan gaya hidup serba glamer?

Kesilapan 4 : Kejahilan tentang konsep nilai masa (time value) wang.
Semua orang tahu pasal hutang kad kredit, hutang along dan hutang pinjaman perumahan yang seolah-olah tak pernah habis dibayar dan kalau dapat dibayar pun akan mengambil masa yang lama.
Berdasarkan prinsip yang sama (iaitu konsep nilai mata wang) simpanan RM100 sebulan selama 20 tahun pada kadar faedah 10 peratus setahun (kadar kad kredit ialah 18 peratus) akan menghasilkan harta RM72000.
Tetapi malangnya masih ramai yang lebih suka menyimpan dengan syarikat kad kredit dan sentiasa merungut tidak cukup wang.

Kesilapan 5 : Perlindungan Takaful/Insuran yang tidak mencukupi.
Apabila memulakan satu sistem simpanan untuk tujuan tertentu contohnya deposit pembelian rumah, tabung pendidikan anak, ada risiko yang boleh menyebabkan wang simpanan tersebut tiba-tiba hangus. Contohnya seperti belanja perubatan, hilang upaya bekerja , kemalangan. Bolehkah kita berserah kepada takdir semata-mata untuk memastikan matlamat kewangan kita tercapai?

Kesilapan 6 : Kegagalan menangani musuh wang yang utama iaitu inflasi
Bayangkan harga sebuku roti 10 tahun dari sekarang, atau segelas teh tarik.
Kajian KWSP telah pun menunjukan bahawa duit simpanan yang diambil oleh pencarum sewaktu usia 55 tahun habis dalam jangka masa 3 tahun sahaja.
Anda bagaimana, apa senjata yang ada untuk melawan inflasi, kanser kewangan nombor satu?
Kesilapan 7 : Keengganan menggunakan perkhidmatan penasihat kewangan bertauliah.
Kesilapan ini telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu memperkenalkan skim cepat kaya, pembelian insuran/takaful dan unit trust yang tidak sesuai dan penggunaan wang KWSP yang tidak berpadanan dengan profil penyimpan.
Semua orang tahu bila sakit harus jumpa doktor bukan peguam.
Begitu juga kalau ada kes undang-undang jumpa peguam bukan doktor.
Tidakkah logik untuk meminta khidmat nasihat seorang penasihat kewangan/perunding takaful bagi mengatasi dilemma pengurusan kewangan anda?
TINDAKAN SUSULAN!!!
Wahai pembaca budiman, diharapkan anda sekarang tahu di mana kesilapan anda. Seterusnya saya cadangkan supaya anda betulkan sebarang kesilapan di atas dan ambil tindakan sama ada merancang sendiri atau membuat temu janji dengan seorang penasihat kewangan/perunding takaful bertauliah.

Selasa, 1 Julai 2008

Pelan-Pelan eTiQa Takaful Berhad

Pelan TN Mesra

TN Mesra
MESRA merupakan pelan yang menawarkan perlindungan dan elemen simpanan. Dari tahun keempat perlindungan, nisbah pengendalian sumbangan adalah lebih kepada simpanan iaitu setinggi 75%.

MANFAAT
Manfaat Mesra dibayar jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal menyeluruh dan bagi hilang upaya kekal menyeluruh manfaat akan dibayar secara beransur-ansur selama 5 tahun sebanyak 10% setahun dan ansuran terakhir pada kadar 60%.

SUMBANGAN
Jumlah sumbangan tahunan yang akan dibayar akan menentukan amaun perlindungan yang diperolehi dengan didarabkan dengan pendarab jadual yang berasaskan pada umur dan tempoh perlindungan. Nisbah sumbangan bagi simpanan adalah lebih apabila tempoh kontrak meningkat.

Pelan TN Prima

TN Prima adalah satu pelan istimewa dengan pulangan berjadual serta kebebasan mutlak dalam perancangan kewangan semasa… pendidikan, umrah dan ziarah, melancong, pelaburan dan sebagainya.

MANFAAT
Jumlah perlindungan sepenuhnya akan dibayar dalam tempoh kontrak berkuatkuasa sekiranya berlaku kematian.
Sekiranya berlaku hilang upaya kekal dan menyeluruh, jumlah perlindungan akan dibayar dalam 3 pembayaran. 20% daripada jumlah perlindungan serta Akaun Peserta Terkumpul dan keuntungan daripada Akaun Peserta apabila sahnya hilang upaya, 40% pada akhir tahun pertama dan kedua dari tarikh hilang upaya.


Manfaat Survival-Setiap 3 tahun bermula dari akhir tahun ketiga kontrak. 10% dari amaun perlindungan berdasarkan pulangan pelaburan 4% setahun.
Baki manfaat survival berjadual termasuk Akaun Peserta serta keuntungan Akaun Peserta dan Lebihan Akaun Khas Peserta.
Nilai serahan Akaun Peserta terkumpul dari tahun kedua penyerahan.
Atas apa juga sebab, sekiranya anda tidak dapat meneruskan sumbangan, anda boleh memilih satu daripada pilihan di dalam ‘peruntukan bukan lucuthak’ untuk meneruskan penyertaan.


KELAYAKAN PENYERTAAN
Had Umur : 6 Bulan hingga 54 tahun (pada tarikh lahir akan datang)

Pelan TN Sarjana

TN Sarjana
Dengan peningkatan kos pembelajaran ke IPTA dan IPTS di sekitar 3% setahun berdasarkan kadar inflasi, adakah anda telah bersedia untuk menghadapinya demi masa depan dan kesejahteraan anak anda?

Pelan TN Sarjana dengan gabungan tabungan dan perlindungan adalah satu usaha untuk mewujudkan dana khas sebagai perancancangan kewangan pendidikan anak anda di hari esok.
Kecermelangan masa depan anak anda ditangan anda. Dengan perancangan kewangan yang strategic dan digabung dengan perlindungan menjadikan TN Sarjana sebagai suatu perancangan yang komprehensif dan harus bagi penentuan masa depan anak anda.


Manfaat Perlindungan
Sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh ke atas pembayar, kesemua sumbangan asas termasuk Rider atas diri anak melainkan tabungan tambahan akan dilunaskan sehingga tarikh matang, anak meninggal dunia atau keilatan kekal menyeluruh, yang mana terdahulu.
Sekiranya berlaku kematian ke atas anak, kontrak ini akan membayar Manfaat Perlindungan berserta Akaun Peserta dan keuntungannya yang terkumpul.
Sekiranya berlaku keilatan ke atas anak, kontrak ini akan membayar manfaat keilatan seperti di dalam jadual yang ditetapkan.


Manfaat Sampingan
Pendahuluan Dana Pendidikan - Pengeluaran wang daripada Akaun Peserta (AP) dibolehkan 3 tahun sebelum tarikh matang.

Manfaat Matang
Apabila kontrak ini matang, peserta akan menerima keseluruhan akaun jumlah terkumpul dalam AP termasuk keuntungan dari AP dengan lebihan Akaun Khas Peserta.

Manfaat Perlindungan Komprehensif

Manfaat sampingan perlindungan berikut boleh disertai dengan sumbangan tambahan.

  • Rider Bertempoh (Juvana Sahaja)
  • Rider Penyakit Kritikal (Pembayar Sahaja)
  • Rider Manfaat Hospital (Pembayar dan Juvana)
  • Rider Pampasan Kemalangan (Pembayar Sahaja)
  • Rider Manfaat Kematian dan Keilatan Akibat Kemalangan (Pembayar dan Juvana)
  • Rider Manfaat Pembayar (Pembayar Sahaja)
  • Rider Manfaat Pendapatan keluarga (Pembayar Sahaja)
  • Tabungan Tambahan
Kelayakan Penyertaan
Had Umur : Sehingga 17 tahunTempoh Penyertaan : 5 hingga 24 tahun
Umur Pada Tarikh Matang : 13 hingga 25 tahun
Perlindungan Minima : RM 10,000
Sumbangan Minima : RM 600 setahun (Asas dan Tabungan Tambahan)

Pembahagian Keuntungan / Lebihan
Pembahagian keuntungan dan lebihan adalah sebanyak 80% kepada peserta dan 20% kepada eTiQa Takaful Sdn Berhad.
Peserta berhak menerima keuntungan dari Akaun Peserta dan lebihan dari Akaun Khas Peserta (Jika ada).


Pengecualian Cukai Pendapatan
Kontrak ini layak menerima pelepasan cukai pendapatan tertakluk kepada keputusan muktamad Lembaga Hasil Dalam Negeri.

* Penting
Brosur ini hanya merupakan keterangan ringkas. Untuk mendapatkan bukti-bukti lengkap mengenai syarat dan peraturan, sila rujuk kepada kontrak anda.

Pelan TN Warisan

TN Warisan merupakan skim takaful yang memberikan faedah simpanan dan perlindungan yang membolehkan anda merancang kewangan demi kesejahteraan anda dan generasi akan datang.

MANFAAT
Membolehkan perlindungan diteruskan sehingga umur 88 tahun walaupun sumbangan telah tamat.Itu lah dia kelebihan produk takaful nasional.

Di akhir tempoh kontrak jumlah Akaun Peserta akan dipulangkan bersama perkongsian keuntungan daripada akaun peserta dan lebihan Akaun Khas Peserta. Penyertaan kanak-kanak berumur dari 6 bulan dibolehkan dengan perlindungan hingga ke tahap RM200,000.
Sekiranya berlaku hilang upaya kekal dan menyeluruh, jumlah perlindungan akan dibayar dalam 3 pembayaran. 20% daripada jumlah perlindungan dan Akaun Peserta Terkumpul serta keuntungan daripada Akaun Peserta apabila sahnya hilang upaya, 40% pada akhir tahun pertama dan kedua dari tarikh hilang upaya.


KELAYAKAN PENYERTAAN
Had Umur : 6 bulan hingga 60 tahun