Isnin, 16 Jun 2008

Panduan Menyertai eTiQa Takaful daripada Bank Negara Malaysia




Ini merupakan panduan sebagai pengenalan untuk membantu anda memahami takaful keluarga. Ia memberikan maklumat asas supaya anda boleh mengajukan soalan yang betul dan memahami jawapan yang diberikan oleh pengendali takaful serta membuat keputusan yang tepat sebelum menyertai sesuatu pelan takaful.


Apakah takaful keluarga?


Takaful keluarga memberikan anda perlindungan serta memperoleh simpanan jangka panjang. Anda atau waris anda akan mendapat manfaat dalam bentuk kewangan jika anda ditimpa kemalangan. Pada masa yang sama, anda akan menikmati simpanan persendirian jangka panjang kerana sebahagian daripada caruman anda akan didepositkan ke dalam sebuah akaun untuk tujuan simpanan. Anda akan menikmati pulangan pelaburan daripada caruman simpanan berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui.Jika anda menyertai takaful keluarga, anda layak untuk mendapat pelepasan cukai perseorangan seperti insurans nyawa. Amaun maksimum bagi pelepasan takaful keluarga biasa ialah RM5,000 setahun setelah ditolak caruman yang dibayar kepada skim faedah saraan, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Bagi pelan perubatan dan pelajaran, pelepasan cukai ialah RM3,000 setahun.


Konsep takaful dalam takaful keluarga.


Apabila anda menyertai takaful keluarga, anda akan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful. Anda akan memeterai perjanjian (aqad) bagi sebahagian daripada caruman anda sebagai caruman penyertaan (tabarru’) dan sebahagian lagi sebagai simpanan dan pelaburan.


Caruman anda dalam bentuk tabarru’ akan dimasukkan ke dalam sebuah dana (Akaun Khas Peserta atau AKP) yang akan digunakan untuk memenuhi tanggungjawab anda dalam saling membantu sekiranya salah seorang peserta ditimpa musibah seperti kematian atau hilang upaya kekal.


Jika anda masih hidup sehingga tarikh matang pelan tersebut, anda layak untuk berkongsi lebihan bersih daripada dana itu, jika ada.Pengendali takaful akan melaburkan caruman simpanan dan pelaburan anda (Akaun Peserta atau AP) dan keuntungan akan dikongsi antara anda dan pengendali takaful berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui.


Jenis perlindungan


Takaful keluarga boleh dibahagikan seperti berikut:·


Keluarga Biasa:–

Takaful keluarga individu (perseorangan)

(TN Mesra, TN Ehsan, TN Sarjana, TN Afiah, TN Warisan)

– Ini termasuk pelan pelajaran, gadai janji, kesihatan dan ‘rider’. Anda akan menerima manfaat kewangan jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal, serta simpanan jangka panjang (pelaburan) dan keuntungan pelaburan yang akan diberikan sekiranya dituntut, matang atau serahan awal.


Takaful keluarga berkumpulan

(majikan, kelab, persatuan dan kesatuan)

– Ini termasuk pelan pelajaran berkumpulan, perubatan berkumpulan, kesihatan dan ‘rider’. Jumlah minimum peserta dikehendaki untuk layak memasuki pelan ini. Anda akan mendapat perlindungan dalam bentuk manfaat kewangan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.·


Berkaitan pelaburan

(TN Prima)

- Sebahagian daripada caruman anda akan digunakan untuk membeli unit-unit pelaburan seperti unit saham atau sekuriti pendapatan tetap. Perlindungan takaful merangkumi kematian dan hilang upaya kekal.Takaful keluarga 'rider' merupakan tambahan kepada pelan takaful keluarga asas. 'Rider' memberi perlindungan sekiranya berlaku kemalangan diri dan hilang upaya, perubatan dan kesihatan.


Manfaat di bawah takaful keluarga.


Sekiranya anda meninggal dunia sebelum pelan takaful anda matang, pengendali takaful akan membayar kepada penama (wasi) anda, manfaat-manfaat berikut:·



  • Daripada AP anda

Amaun yang telah terkumpul di dalam AP anda serta keuntungan pelaburannya dari tarikh penerimaan pelan takaful hingga tarikh pembayaran sebelum kematian.




  • Daripada AKP anda

Jumlah perlindungan risiko atau tabarru’.Jika anda masih hidup sehingga tarikh matang, anda layak untuk menerima manfaat-manfaat berikut:·




  • Daripada AP anda

Amaun yang telah terkumpul di dalam AP anda serta keuntungan pelaburannya.·




  • Daripada AKP anda

Lebihan bersih yang diperuntukkan kepada anda, jika ada.


Terma dan syarat utama
Mustahak bagi anda memahami terma-terma yang digunakan dalam takaful keluarga. Jika anda tidak pasti dengan maksud sesuatu terma itu, anda hendaklah bertanya kepada ejen anda atau pengendali takaful. Oleh kerana sijil merupakan kontrak yang sah, maksud-maksud yang termaktub di dalam sijil tersebut akan diguna pakai semasa tuntutan dibuat.Sebahagian daripada terma-terma penting ialah:·




  • Sumbangan – Ini ialah ansuran sumbangan takaful anda yang dibayar kepada pengendali takaful. Anda boleh memilih untuk membayar caruman secara bulanan, suku-tahunan, separuh-tahunan ataupun tahunan.


  • Tempoh tangguh – Anda akan dibenarkan tempoh tangguh selama 30 hari untuk menjelaskan bayaran ansuran caruman takaful. Jika anda meninggal dunia semasa tempoh tangguh, ansuran caruman takaful yang belum dijelaskan akan ditolak daripada jumlah manfaat takaful anda.·


  • Tempoh matang – Anda boleh memilih sebarang tempoh matang yang sesuai untuk keperluan anda. Julat tempoh ini ialah dari 10 tahun hingga 40 tahun.

Ciri-ciri penting takaful keluarga


Sebahagian daripada ciri-ciri penting takaful keluarga ialah:




  • Terbuka kepada semua individu berumur antara 18 hingga 60 tahun.


  • Anda mempunyai pilihan tempoh matang.


  • Tidak ada pelucuthakan jika berlaku pembatalan.


  • Kemudahan untuk mengeluarkan sebahagian daripada caruman.


  • Perkongsian lebihan dengan pengendali takaful.


  • Menyediakan simpanan dan pelaburan jangka panjang.

Pengecualian


Takaful keluarga pada lazimnya tidak melindungi perkara-perkara berikut:




  • Percubaan membunuh diri atau mencederakan diri sendiri dengan sengaja sama ada semasa anda siuman atau tidak.


  • Jika anda melanggar undang-undang.


  • Jika anda memprovokasi serangan.


  • Jika anda berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.


  • Jika anda menghidap AIDS atau HIV.


  • Sebab-sebab lain yang dilarang oleh undang-undang Syariah.

Penama polisi anda




  • Beritahu penama (wasi) anda


  • Beritahu penama anda tentang takaful keluarga yang anda sertai, sebarang perubahan yang telah dibuat dan tempat di mana anda menyimpan dokumen-dokumen tersebut.


  • Simpan dokumen-dokumen tersebut di tempat yang selamat.


  • Letakkan maklumat-maklumat asas seperti nama pengendali takaful, jenis pelan, nombor sijil dan nama-nama penama di tempat yang berasingan.


  • Pastikan anda memaklumkan alamat penama anda dan pertukaran, jika ada, kepada pengendali takaful anda.

Bagaimanakah saya membuat tuntutan?


Pengendali takaful akan membuat pembayaran kepada anda atau penama anda, bergantung kepada terma dan syarat di dalam sijil anda.


Semasa membuat tuntutan:·




  • Maklumkan kepada pengendali takaful anda dengan segera.


  • Untuk tuntutan matang, sediakan salinan sijil takaful keluarga.·


  • Untuk tuntutan kematian, penama anda hendaklah menyediakan dokumen-dokumen berikut:



  1. –Salinan sijil kematian yang disahkan;


  2. –Salinan kad pengenalan si mati;


  3. –Sijil takaful asal;


  4. –Bukti hubungan antara orang yang membuat tuntutan dan simati; dan


  5. – Dokumen-dokumen lain yang diminta oleh pengendali takaful.

Bagaimanakah saya membuat aduan?
Anda mungkin tidak berpuas hati apabila pengendali takaful menolak tuntutan anda atau dengan tawaran penyelesaian yang dibuat.




  • Pertama sekali, anda perlu membuat aduan kepada pengendali takaful.Sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat, anda boleh merayu kepada Biro Pengantaraan Insurans (BPI) atau Bank Negara Malaysia.


  • Anda mestilah membuat rayuan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh keputusan pengendali takaful dibuat.


  • BPI hanya boleh mengendalikan jumlah tuntutan sehingga RM100,000 setiap tuntutan.


  • Bagi kes-kes yang tidak termasuk dalam bidang kuasa BPI, anda boleh merujuk kes tersebut kepada Bank Negara Malaysia.


  • Anda juga boleh memilih untuk membawa kes anda terus ke mahkamah.


  • Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang bagaimana untuk membuat aduan di bawah topik Maklumat Am bertajuk 'Asas-asas Insurans dan Takaful'.

Tiada ulasan: